a TriButE tO HaDy MiRzA.....


Bukan milik peribadi(quoted from Berita Harian, 19 Dis 07)

Hady Mirza anggap kemenangan hak bersama kerana semua peserta adalah yang terbaik dari Asia PENYATUAN enam juara pertandingan realiti yang bersatu di pentas Asian Idol berakhir dengan keputusan memeranjatkan apabila peserta 'underdog' dari Singapura, Hady Mirza menjadi pilihan penonton enam negara Asia untuk dinobatkan sebagai juara pertama Asian Idol. Dari riak wajahnya, saat namanya diumumkan sebagai pemenang, langsung tidak terbias riak percaya di wajah pemuda berusia 27 tahun itu.

Seperti katanya, selesai pertandingan yang berlangsung dengan gemilang di Jakarta International Expo (JIExpo), Kemayoran, Jakarta, malam kelmarin, penyertaannya dalam Asian Idol bukan untuk mengejar kemenangan. Sebaliknya, apa yang dicari juara musim kedua Singapore Idol ini adalah ruang untuk memperkenalkan bakatnya, selain mengutip sebanyak mungkin pengalaman apabila berkongsi pentas dengan peserta daripada enam negara berbilang bangsa dan pelbagai budaya. "Saya ke sini bukan untuk mencari kemenangan. Tetapi saya mahu bersama lima peserta lain untuk membuktikan Asia tidak pernah ketandusan bakat yang mampu melangkah ke peringkat lebih tinggi.

"Saya melalui detik yang sangat membahagiakan sepanjang 10 hari acara ini berlangsung, pengalaman itu juga sangat menakjubkan. "Jika ditakdirkan bukan saya yang memenangi pertandingan ini, saya tidak akan sesekali menyesal. Kejayaan ini bukan milik peribadi saya, sebaliknya kemenangan kami bersama kerana semua yang berdiri di pentas ini adalah yang terbaik dari Asia. "Terima kasih kepada semua yang mengundi, juga kepada RCTI dan Fremantle serta warga kerja yang berusaha keras untuk memastikan pertandingan ini berhasil. "Terlalu banyak yang saya pelajari daripada pertandingan ini," katanya dalam nada tertahan pada sidang media selesai pertandingan itu.

Meskipun kemenangannya diselubungi perasaan tidak puas hati, malah ketika namanya diumumkan sebagai juara, sebahagian besar penonton meninggalkan dewan kerana memprotes keputusan, ia tidak membekas kekecewaan di hati pemuda itu. Dia yang memilih lagu teman senegaranya, Taufik Batisah, Berserah dan Beautiful Day daripada U2 pada pertandingan itu, secara jujur mengakui dirinya bukan peserta pilihan juri. Ketika kebanyakan juri, malah penonton yang memenuhi dewan pada malam persaingan meramalkan meramalkan persaingan sengit berlaku antara juara Malaysian Idol, Jaclyn Victor (Jac) serta pemenang Indonesian Idol musim kedua, Mike Mohede (Mike) serta Philipine Idol, Maureen Marcello (Mau), Hady selesa menjadi dirinya sendiri di pentas. Berbanding tiga juara berkenaan yang mempunyai vokal hebat yang membuat banyak mata terpukau, pemuda kelahiran 28 Januari 1980 tampil selamba tanpa terlalu memikirkan soal kemenangan.

Jelas Hady mempunyai kelebihan apabila dia memiliki karisma yang membuat penonton tertawan dengannya. Hal ini diakui juri dari India, Anu Malik yang mengakui tertarik dengan gaya persembahan Hady sebaik menamatkan lagu keduanya, Beautiful Day. Akuinya, hatinya berbisik akan berlaku kejutan pada malam keputusan Asian Idol dan ternyata, malam itu menjadi milik pemuda kelahiran Singapura itu. "Dia juga mempunyai suara yang baik, namun nasib lebih menyebelahinya malam ini kerana khalayak menghargai apa yang dipersembahkan Hady berbanding peserta lain," katanya.

Kelebihan Hady itu juga diakui juri dari Malaysia, Paul Moss yang melihat pemuda berkenaan mempunyai penampilan yang cukup menarik ketika beraksi di pentas. Barangkali kemampuan vokalnya terbatas, namun kata Moss, bukan itu yang terlalu dilihat penonton. Hady mempunyai potensi besar untuk menjadi peserta pilihan dan popular. Dijolok pertanyaan mengenainya, Hady berkata, dia langsung tidak kecewa malah sepanjang pertandingan itu, dia juga tidak memikirkan bagaimana mahu memenangi undian penonton. "Saya cuma menjadi diri sendiri dan memberikan sepenuh tumpuan kepada persembahan. Itu lebih utama dan paling penting, saya mahu bergembira ketika di pentas," katanya. Keseimbangan yang ada pada diri pemuda ini turut memberi kelebihan kepadanya untuk bergelar juara.

Seperti kata pengkritik dari negara kelahiran Hady, Ken Lim, dia langsung tidak menyangka kemenangan akan menjadi milik penyanyi yang merangkul gelaran Singapore Idol pada 25 September 2006 kerana kesemua peserta tidak melalui laluan mudah untuk mencipta kejayaan. "Kesemua enam peserta mempunyai mutu vokal yang baik. Hady mungkin bukan penyanyi yang baik tetapi dia mempunyai keseimbangan yang berjaya menutup kekurangannya. Dia berjaya membawa penonton untuk terikat dengan penampilan dan suaranya. "Dia ternyata mempunyai keseimbangan untuk menjadi penghibur yang baik serta mutu suara yang tidak mengecewakan," katanya.

Pendapat yang sama turut dikongsi pengkritik dari Indonesia, Indra Lesmana yang melihat jika jumlah populasi diambil kira, Mike serta peserta dari India, Abhijeet Sawant sebenarnya mempunyai laluan yang lebih mudah untuk muncul juara. Bagaimanapun, hal itu tidak menjadi kenyataan kerana daripada tinjauan yang dibuatnya di Indonesia, selain Mike, Hady juga mempunyai kelompok peminat yang sedang membesar di negara itu. "Ramai menyukai penampilannya. Dia mempunyai karisma, malah kelebihan kepada Hady kerana dia sudah dikenali di sini. Justeru, saya yakin dia mampu mengutip undian yang tinggi berdasarkan semua kelebihan yang ada pada dirinya," katanya. 'Hady layak raih juara Asian Idol' meskipun tewas ketika ramai yang menaruh keyakinan gelaran Asian Idol pertama bakal menjadi miliknya, Mike berkata, dari awal pertemuan mereka lagi dia merasakan ada sesuatu yang mengesankan pada diri Hady. Bagi Mike, pemuda itu layak meraih gelaran itu kerana kerja kerasnya untuk meneruskan perjuangan seninya. "Hady mempunyai keperibadian hangat yang membuat khalayak menyukai penampilannya di pentas. Maka, dia layak untuk meraih gelaran itu kerana dia sendiri bekerja keras untuk mencapainya," kata Mike yang menghampakan lebih 5,000 penonton apabila tewas di negara kelahirannya sendiri.

Begitu juga dengan Abhijeet yang melihat kekalahannya dari sudut positif. Bagi juara Indian Idol itu, tiada yang lebih menggembirakannya selain dapat berkongsi pentas dengan penyanyi muda hebat mewakili rantau Asia. Malah katanya, biarpun gagal meraih kemenangan langsung tidak membekas perasaan iri hati atau kurang senang kepada Hady. "Dia ialah seorang daripada keluarga besar Asian Idol, justeru kami harus berbangga dengan kemenangannya," katanya. Bagi Jac pula, apa yang bermain di fikirannya ketika ini adalah menanti detik indah untuk memajukan serta melebarkan karier seninya di rantau Asia. Peluang itu tidak datang mudah jika dia hanya duduk bergoyang kaki dan menanti segala-galanya diatur di depan mata. Justeru, pertandingan seperti Asian Idol menyediakan ruang kepadanya untuk meneroka setiap peluang yang ada dan kata Jac, itulah detik yang sangat indah dalam karier nyanyiannya. "Saya yakin banyak yang manis akan tiba selepas ini. Bukan hanya untuk Hady tetapi juga untuk kami semua. Harap akan ada usaha berterusan seperti penerbitan album kompilasi yang menyatukan kami semua supaya apa yang diusahakan ini tidak hanya terhenti di sini," katanya. Seperti kata Moss, pertandingan itu sebenarnya menyediakan peluang yang cukup besar kerana dia sudah membuktikan kepada Asia kelebihan yang dimilikinya. Akui Moss, Jac mempunyai potensi untuk meneroka ruang yang ada dan memperkenalkan bakat besarnya ketika Asia sudah mula memberi perhatian kepada keistimewaan gadis berusia 29 tahun itu.

Komen pengkritik:

Paul Moss: "Keputusan yang agak memeranjatkan, namun kita tidak boleh menyalahkan khalayak kerana mempunyai hak untuk memilih siapa yang mereka mahu. Dalam pertandingan ini saya melihat ada tiga peserta yang mempunyai kelebihan untuk memenangi hati penonton menerusi penampilan mereka. "Asian Idol umpama pertembungan antara tiga peserta yang mempunyai rupa dan tiga peserta yang memiliki vokal hebat. Hady mempunyai kelebihan kerana wajahnya enak dilihat ketika mengadakan persembahan. Mungkin kemampuan suaranya terhad tetapi persembahannya tidak terlalu mengecewakan".

Anu Malik: "Mike dan Jac mempunyai suara yang baik tetapi saya suka dengan sikap Hady ketika membuat persembahan, Dia terlalu selamba, malah seperti tidak kisah jika kemenangan berpihak kepadanya atau sebaliknya. Mungkin kerana itu dia menjadi pilihan penonton. Lagipun saya percaya setiap orang mempunyai harinya dan hari ini milik Hady Mirza".

Indra Lesmana: "Khayalak di Indonesia sudah mula menyukai Hady selain peserta negara sendiri, Mike. Itu yang memberi kelebihan kepadanya untuk meraih undian besar pada pertandingan ini. Dari awal saya yakin dia akan memperoleh undian yang tinggi dan ia terbukti pada malam ini".

1 Ur Opinion...:

Nana said...

Kmk suka yg dihiglight hijau ya...haha. Go jiran!!!